hipers (High Performance Rural Schools)

YAYASAN Sarawak dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan Sarawak sebagai Pemangkin Pembangunan Pendidikan di Bumi Kenyalang membuat kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dalam memperkenal Program HIPERS (High Performance Rural Schools). Inisiatif ini bertujuan membantu memperkasa serta melonjakkan prestasi sekolah luar bandar keseluruhannya memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Sekolah Luar Bandar bermaksud sekolah yang terletak di kawasan luar bandar seperti di kawasan kampung. Luar bandar bermaksud tempat yang lebih mundur dari segi teknologi, infrastruktur, tahap kehidupan dan sebagainya. Ini bermaksud sekolah luar bandar kurang sempurna berbanding sekolah di bandar. Bagaimanapun, ini tidak bermaksud pelajar di sekolah luar bandar lemah dari segi akademik. Beberapa faktor yang sentiasa mempengaruhi pendidikan akademik pelajar sekolah luar bandar adalah seperti latar belakang pelajar, motivasi diri pelajar, sikap pelajar terhadap persekolahan, persekitaran di rumah dan personaliti pelajar. Walaupun pelbagai program diusahakan dan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan dan JPNS yang memberi impak positif, namun masih terdapat lagi jurang pencapaian antara sekolah bandar dengan luar bandar yang ketara harus ditangani. USAHA TANGGA KEJAYAAN bermaksud seseorang itu perlu berusaha dengan gigih menempa kecemerlangan. Peribahasa ini selari dengan usaha Yayasan Sarawak dalam membantu sekolah luar bandar supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan sekolah yang berada di bandar yang sudah pastinya telah cukup sempurna dari segi segi keperluan Pendidikan.
Program HIPERS (High Performance Rural Schools ini dimulakan pada 1996. Pada awalnya program ini hanya tertakluk kepada memberikan bantuan seperti kelas tambahan, mengadakan bengkel kecemerlangan peperiksaan dan juga bantuan alat tulis sebagai bahan yang digunakan sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Setelah melalui pelbagai kajian bagi tujuan peningkatan mutu dan impak program, Program HIPERS kini diteruskan lagi dengan penekanan kepada skop bantuan yang diperluas kepada lebih menyeluruh meliputi pelajar, guru, ibu bapa dan komuniti yang dijangka mempengaruhi keberkesanannya. Matlamat utama Program HIPERS yang diperkenalkan adalah untuk membantu sekolah di luar bandar Sarawak bagi meningkatkan prestasi akademik dan bukan akademik keseluruhannya. Melalui intervensi ini, Yayasan Sarawak berharap dapat terus menyumbang kepada kemajuan pendidikan di Sarawak. Sehingga kini, sebanyak 51 sekolah luar bandar di sarawak dipilih sebagai Sekolah HIPERS Yayasan Sarawak iaitu terdiri daripada 25 sekolah menengah dan 26 buah sekolah rendah.
Antara hala tuju Program Hipers setelah melalui pelbagai kajian penambahbaikan ialah:
• Sekolah mampu melahirkan murid yang cemerlang dalam bidang akademik
• Merapatkan jurang pencapaian antara sekolah luar bandar dengan sekolah bandar
• Membantu sekolah berdikari dalam meneruskan kecemerlangan.
• Memupuk budaya kecemerlangan dalam kalangan warga sekolah.
• Meningkatkan kesedaran terhadap pendidikan dalam kalangan ibu bapa dan komuniti dan seterusnya menggalakkan penyertaan mereka dengan pembangunan pendidikan di sekolah.
Kumpulan Sasaran Program HIPERS sentiasa memberikan fokus terhadap pembangunan pelajar sama ada dari segi akademik ataupun bukan akademik. Selain itu, program ini juga menitikberatkan pembangunan guru, ibu bapa dan juga komuniti dalam usaha membangunkan dan menyampaikan perkara berkaitan ilmu pendidikan di Sarawak. Menjadikan Program HIPERS Sebagai Tonik Tambahan Membantu Meningkatkan Kualiti Guru Guru menjadi tumpuan utama dan berperanan menjadi pemimpin dalam bilik darjah. Pelbagai bentuk sokongan, bimbingan dan latihan disediakan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengajaran bagi mengatasi jurang pencapaian.
Perkongsian Bermanfaat Untuk Sekolah Mengadakan Ceramah Keibubapaan/Komuniti Melalui Program HIPERS Guru dan sekolah perlu memberi penerangan kepada ibu bapa berkenaan kepentingan anak-anak mendapat pendidikan secukupnya di sekolah. Hal ini penting bagi menjamin masa depan anak-anak mereka. Penilaian Melalui KPI (Indikator Pencapaian Keseluruhan) Kejayaan sekolah yang dipilih dan keberkesanan program HIPERS dinilai secara berterusan menggunakan instrumen penilaian sedia ada di sekolah. Hasil penilaian tersebut menjadi indikasi pencapaian penambahbaikan serta menjadi faktor mempertimbangkan program HIPERS perlu diteruskan di sekolah tertentu.
Pelbagai program yang dilaksanakan sudah pasti mempunyai hasil yang diharapkan.
Antara faktor penilaian yang dilihat ialah:
• Pencapaian dalam peperiksaan penggal dan awam (UPSR dan SPM). Setiap sekolah perlu menampakkan peningkatan berbanding tahun sebelum ini.
• Pencapaian sebenar berbanding ETR (Expected Target Result). Perbandingan keputusan peperiksaan Awam dan Peperiksaan Penggal.
• Penglibatan aktiviti dan pencapaian dalam Kokurikulum. Ini meliputi aktiviti bersama-sama guru, ibu bapa dan komuniti.
• Disiplin murid sepanjang pelaksanaan program HIPERS di sekolah.
• Anugerah yang sekolah terima dalam tahun tersebut
• Kekerapan menghantar laporan bulanan serta laporan tahunan keseluruhannya. Permohonan Sebagai Sekolah HIPERS Pemilihan sekolah yang terlibat ditapis dan diteliti oleh pihak JPNS berdasarkan kepelbagaian kriteria.
Yayasan Sarawak sentiasa mengalu-alukan permohonan daripada sekolah luar bandar yang berminat dan menepati kriteria permohonan sebagai sekolah HIPERS.
Antara kriteria permohonan ialah:
Pihak sekolah perlu mengemukan permohonan kepada pihak JPNS yang merangkumi maklumat sekolah, keputusan keseluruhan sekolah dalam peperiksaan awam (tiga tahun sebelum), keputusan penggal persekolahan dan perancangan aktiviti yang dijalankan sekiranya terpilih.
Pastikan semua maklumat yang dihantar disahkan benar oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) masing-masing.
Permohonan tersebut dihantar kepada pihak Yayasan Sarawak setelah diteliti dan mendapat sokongan daripada pihak JPNS. Permohonan dari kawasan yang belum mempunyai sekolah HIPERS dalam senarai diberi keutamaan.
Kerjasama Kejayaan Program HIPERS ini bergantung kepada komitmen serta kerjasama semua pihak yang terlibat.
Yayasan Sarawak berharap agar program ini sentiasa mendapat sokongan dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh sekolah yang terpilih supaya peluang yang sama dapat dirasai oleh sekolah lain pada masa hadapan. Bagi memastikan program ini sentiasa menepati objektif, Yayasan Sarawak sentiasa meneruskan kerjasama dengan JPNS dan PPD bagi memantau perjalanan program ini di sekolah yang terlibat dan bersama-sama menggembleng tenaga serta idea untuk memperkasa program ini kelak. Semoga program seumpama ini, harapan kita dapat melihat sekolah luar bandar setaraf dengan sekolah yang berada di bandar dapat direalisasikan pada masa akan datang